Pusat bandar Kajang dilanda banjir kilat
KUALA LUMPUR: Hujan lebat yang melanda pusat bandar Kajang dekat sini dan beberapa kawasan di sekitar daerah itu petang tadi menyebabkan berlaku banjir kilat.
Hujan hampir tiga jam itu bermula kira-kira 2 petang, mengakibatkan paras air di Sungai Jelok melimpah dan longkang tersumbat.
"Antara kawasan yang dilanda banjir kilat pusat bandar Kajang, Taman Jasmin dan Saujana Impian," kata Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul ketika dihubungi.
Air dikatakan naik sehingga ke paras pinggang namun banjir kilat ini kembali surut kira-kira 6.30 petang tadi, kata beliau.
Banjir itu menyebabkan beberapa buah kedai mengalami kerosakan dan beberapa kenderaan terperangkap.
Mohamad Sani berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian banjir itu oleh orang awam kira-kira 2.47 petang.
Katanya, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang dan Bangi bergegas ke lokasi kejadian.
"Kami turut dibantu oleh anggota polis dan skuad penyelamat Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) untuk menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap dalam banjir itu," katanya.
Mohamad Sani berkata setakat ini tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu reaksi orang ramai di Twitter pula, rata-rata merungut kerana bajir kilat dikatakan kerap berlaku di bandar tersebut sejak akhir-akhir ini.
Mereka mahu tindakan segera diambil oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menangani masalah ini.
Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/pusat-bandar-kajang-dilanda-banjir-kilat-48296?cp
No comments:
Post a Comment