Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Wednesday, October 15, 2014

RM379 juta royalti Kelantan dikaut kerajaan pusat


SALMAH MAT HUSAIN | 14 Oktober 2014.

KOTA BHARU: Pendapatan operasi petroleum di kawasan Joint Deveploment Area (JDA) sempadan Kelantan-Thailand sebanyak RM517.9 juta pada 2013.

Dan pada 2014 pula pendapatan meningkat kepada RM691.9 juta dan anggaran bagi 2015 sebanyak RM758.2 juta.

Manakala pendapatan keuntungan petroleum bukan royalti dinikmati Malaysia-Thailand berjumlah RM1.45 bilion.

Adun Salor, Datuk Husam Musa berkata, jumlah hasil petroleum tersebut terdapat dalam buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2015.

Katanya, sekiranya royalti dari kawasan JDA sahaja digunakan sebagai asas sepatutnya Kelantan dibayar royalti berjumlah RM379 juta daripada separuh jumlah diterima kerajaan pusat berdasarkan perjanjian 5 peratus.

“Kerajaan Persekutuan bukan sahaja menganaktirikan rakyat dan negeri Kelantan, sebaliknya menafikan hak rakyat di negeri ini mendapat royalti,” katanya ketika membahas Belanjawan Kelantan 2015 pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan belanjawan baru-baru ini sekali lagi mengecualikan Kelantan dalam senarai pembinaan lebuh raya.

“Ini bukan sahaja menyedihkan rakyat Kelantan, sebaliknya tindakan itu boleh memalukan rakyat negara ini.

“Berbilion ringgit hasil berkaitan petroleum dikaut dari negeri ini. Dan jumlah royalti sebanyak RM379 juta hak Kelantan juga dikaut kerajaan pusat,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, tindakan memperkecilkan tuntutan Kelantan menyebabkan Terengganu yang selama ini memperolehi royalti turut menjadi mangsa.

Katanya, Terengganu tiba-tiba tidak layak mendapat royalti semata-mata kerajaan pusat hendak menafikan hak Kelantan.

“Sekiranya benar Terengganu tidak layak bermakna pembayaran puluhan bilion kepada Terengganu selama ini dianggap salah bayar.

“Ia adalah satu tindakan pecah amanah bagi Petronas. Najib selaku Timbalan Perdana Menteri sebelum ini pun menyerah cek bernilai RM800 juta kepada Terengganu menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu sebagai bayaran royalti,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kelantan membawa ke muka pengadilan pihak yang terlibat kerana melakukan perkara yang salah bayar kepada Terengganu. - HARAKAHDAILY 14/10/2014

No comments:

Post a Comment