Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Thursday, November 13, 2014

Laporan Ketua Audit Negara: TIM tegur permasalahan projek 1BestariNet


Laporan Ketua Audit Negara antara lain mendedahkan mengenai pelaksanaan projek 1BestariNet yang tidak efisien. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Ketelusan Jabatan Audit Negara sekali lagi mendapat pujian daripada Transparency International Malaysia (TIM) atas kejayaannya membentangkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3.

Laporan bersiri bahagian akhir tersebut disifatkan TIM sebagai tidak tunduk atau menyebelahi agensi dan kementerian di Kerajaan Persekutuan, badan-badan berkanun dan aktiviti kerajaan negeri.

Menurut pandangan Presiden TIM, Datuk Akhbar Satar melalui kenyataan medianya, walaupun terdapat beberapa kekurangan dan ketidakteraturan dalam laporan tersebut, masih ditemui beberapa petanda positif dan penambahbaikan yang dilaksanakan sesetengah kementerian dan jabatan.

“Masih terdapat beberapa trend sama ditunjukkan dalam langkah-langkah perolehan yang lemah serta kekurangan ketelusan daripada sesetengah kementerian,” ujar kenyataan itu.

Salah satu penemuan besar dalam laporan terkini berkenaan ialah mengenai projek 1BestariNet yang menyasarkan usaha penyediaan jalur lebar 4G berkelajuan tinggi di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara, termasuk platform persekitaran pembelajaran virtual (VLE) untuk e-pembelajaran.

Sebanyak 89 peratus daripada 46 buah sekolah yang diselidik dan lebih 70 peratus daripada 491 maklum balas mendedahkan bahawa liputan 1BestariNet tidak sampai ke keseluruhan kawasan sekolah. Masih terdapat akses yang terhalang walaupun dalam perimeter sekolah.

Projek tersebut sepatutnya menyediakan infrastruktur untuk 10,000 buah sekolah di negara ini dalam tempoh 30 bulan bermula 13 Disember 2011.

Begitupun, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa sambungan Internet kepada 4,176 pengguna sasaran telah terlewat selama 439 hari tanpa dikenakan penalti. Ia sepatutnya disiapkan pada bulan Jun tahun ini.

“Kontraktor yang dilantik dalam projek tersebut tidak sepatutnya lepas daripada tanggungjawab, walaupun dengan denda sejumlah RM2.4 juta atas kelewatan tersebut,” kata Akhbar yang mencadangkan Kementerian Pendidikan mengambil pendekatan undang-undang atas kegagalan pihak tersebut.


Read more at:http://www.astroawani.com/news/show/laporan-ketua-audit-negara-tim-tegur-permasalahan-projek-1bestarinet-48263?cp

No comments:

Post a Comment