Iklan Kite
Friday, September 11, 2015
Peluang berkorban di Aceh
PAIMUZI Yahya (kanan) melawat tapak pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Phnom Penh, Kemboja hasil lebihan wang korban dan dana wakaf rakyat Malaysia semasa ekspedisi korban tahun lalu.
OLEH MOHD. RADZI MOHD. ZIN | 10 September 2015
Ibadah korban adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Tujuannya sebagai amalan untuk taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah SWT. Ibadat ini disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Dalil pensyariatannya sabit dengan al-Quran dalam ayat 2 surah al-Kauthar dan ayat 36 surah al-Hajj. Hukum melaksanakannya adalah sangat dituntut atau sunat muakkad.
Bagi umat Islam di Malaysia, ibadat korban dilakukan di merata-rata tempat selain di kampung halaman atau tempat tinggal masing-masing. Hasil kemakmuran ekonomi membolehkan limpahan daging korban itu dikongsi bersama dengan saudara seagama di negara-negara jiran.
Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menganjurkan ekspedisi korban adalah Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Perdana Menteri atau lebih dikenali sebagai PKPU. Tahun ini PKPU melebarkan sayapnya ke Aceh selain ke destinasi sedia ada iaitu Kemboja dan Vietnam.
Antara yang menjadi pendorong umat Islam negara ini berkorban di negara lain adalah keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 yang memutuskan bahawa harus mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.
Yang Dipertua PKPU, Paimuzi Yahya berkata, tujuan pihaknya mengadakan Program Korban dan Akikah sejak tahun 2009 untuk membantu mengisi dana pendidikan umat Islam khususnya di negara-negara umat Islam minoriti yang memerlukan perhatian.
Justeru, selain Kemboja dan Vietnam, jelasnya, tahun ini PKPU melebarkan destinasi ke Aceh memandangkan Aceh masih lagi berada dalam trauma tragedi tsunami yang amat dahsyat.
“Selain itu, tinjauan PKPU juga mendapati anak-anak yatim kesan tsunami juga masih memerlukan sokongan dan perhatian. Sebab itulah pada kali ini PKPU cuba mengajak masyarakat islam khususnya di Malaysia untuk sama-sama menyertai PKPU dalam misi bantuan kali ini,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mengenai sambutan umat Islam dalam program kali ini, Paimuzi memberitahu, mengikut trend tahun-tahun sebelum ini PKPU berjaya mengumpul lebih 200 ekor lembu untuk dikorbankan di Kemboja dan Vietnam.
Katanya, sambutan menggalakkan itu mungkin didorong harga lembu di sana yang lebih murah berbanding di Malaysia yang menyebabkan ramai masyarakat Islam negara ini mengambil peluang untuk melakukan korban di sana.
Namun, jelas beliau, keadaan agak berlainan di Aceh kerana harga lembunya setakat ini lebih kurang sama harganya dengan harga di Malaysia.
“Justeru saya amat berharap ada yang sudi menyertai ekspedisi korban dan akikah ke Aceh ini dengan harga pakej RM2,000 yang merangkumi tiket penerbangan, penginapan, makan minum termasuk satu bahagian korban lembu di sana,” tambahnya.
Mereka yang berminat boleh menghubungi penyelaras program korban di Aceh iaitu Nik Mohd. Nasrun Nik Abdullah di talian 012-6048875 atau Zakaria Othman di talian 019-3951481. Penyertaan dibuka sehingga 14 September ini.
Dalam perkembangan yang sama, Paimuzi berkata, PKPU mengalu-alukan sumbangan wang tunai untuk membeli pakaian anak-anak yatim di sana selain untuk mengisi dana pendidikan sekolah dan asrama anak-anak yatim.
“Kita tidak menggalakkan sumbangan barangan kerana masalah pengangkutan dari Malaysia ke Aceh yang kosnya agak tinggi. Justeru, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja memberi sumbangan wang tunai melalui akaun khas PKPU atas nama Korban PKPU JAKIM no. akaun Bank Islam 16018010018914,” jelasnya.
Inilah antara peluang yang ditawarkan oleh Persatuan Kakitangan Pegawai Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui penganjuran Ekspedisi Korban ke Kemboja dan Vietnam pada 6 hingga 10 Oktober 2014.
Antara kejayaan ekspedisi di Kemboja adalah terbinanya Kompleks Pendidikan Islam Phnom Penh hasil lebihan dana dan wakaf umat negara negara ini. Majlis pecah tanah projek itu dilakukan pada Oktober 2013.
Fasa pertama pembinaannya telah siap dan akan dirasmikan dalam ekspedisi PKPU pada Hari Raya Aidil Adha ini. Ia menyediakan peluang pendidikan daripada peringkat sekolah rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/peluang-berkorban-di-aceh-1.134148#sthash.6CdOtqpK.dpuf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment