Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Thursday, September 17, 2015

Ekspedisi kasih dan korban PKPU


SEBAHAGIAN daripada golongan wanita yang menghadiri majlis serahan daging korban anjuran PKPU di Kemboja, tahun lalu.

Program ibadat dua dalam satu di Kemboja, Vietnam
MOHD. RADZI MOHD. ZIN | 17 September 2015 3:00 PM


ISLAM sebagai agama yang sempurna dan sesuai dengan fitrah manusia tidak pernah menyukarkan sesuatu ibadat yang mahu dilakukan oleh umatnya. Malah ia meraikan sebarang bentuk pembaharuan atau inovasi selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Demikian juga dengan amalan berkorban. Sejarah awal ia dilakukan di tempat sendiri kini ia diperluaskan ke kawasan lain bagi membantu umat Islam yang memerlukan. Yang penting, ibadat korban dalam negara jangan pula dilupakan.

Inilah antara yang diperjuangkan oleh Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) apabila memperkenalkan Ekspedisi Kasih dan Korban di Kemboja pada tahun 2009. Program itu kemudiannya diperluaskan ke Vietnam pada tahun 2011.

Tidak dinafikan program itu mendapat sambutan baik daripada umat Islam Malaysia. Lagipun ia memberi alternatif kepada umat Islam yang ingin melaksanakan ibadat korban tetapi mempunyai bajet yang agak terhad. Sebabnya kos korban di Kemboja dan Vietnam lebih murah iaitu RM300 berbanding dalam negara iaitu sekitar RM550 ke RM600 satu bahagian.

Dalam masa yang sama, melancong juga boleh dijadikan cara pengukuhan iman dan takwa dengan banyak pengajaran berkaitan perkara baik dan buruk dapat dilalui atau diperhatikan ketika berkunjung serta menziarahi sesuatu destinasi pelancongan.

Hal ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: “Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” (al-Anam: 11)

Allah berfirman lagi yang bermaksud: “Katakanlah, jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang yang berdosa.” (an-Naml: 69)

Lanjutan projek perintis pada tahun 2009 itu, PKPU meneruskan tradisi yang sama tahun ini. Program yang dirancang pada 25 hingga 29 September memberikan pilihan kepada umat Islam di Malaysia melaksanakan ibadat sunat yang amat dituntut itu (sunat muakkad).

Bendahari PKPU, Mohd. Ajib Ismail berkata, program itu mengekalkan tema yang sama iaitu Misi Pelaksanaan Ibadat Korban dan Akikah serta Mengisi Dana Pendidikan Umat Islam.

Katanya, kos bagi satu bahagian lembu di Kemboja adalah RM300, seekor lembu RM2,100 dan seekor kambing RM650 manakala yuran penyertaan ekspedisi adalah RM2,499 seorang. Tarikh tutup penyertaan korban adalah 21 September.

Kos itu meliputi tambang kapal terbang pergi dan balik, penginapan, pengangkutan dan makan minum sepanjang ekspedisi dan satu bahagian korban lembu.

“Tempat adalah terhad dan mereka yang berminat diharap dapat segera menghubungi urusetia iaitu saya di talian 012-505 2771, Nik Mohd. Nasrun Nik Abdullah (012-604 8875) dan Nurzaidan Hamad (019-244 6877),” katanya kepada Mega, Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Mohd. Ajib, ekspedisi kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila bakal menyaksikan perasmian bangunan Fasa I Kompleks Pendidikan Islam Muslim Kemboja pada 26 September ini.

Katanya, kompleks pendidikan itu adalah amat signifikan dengan rakyat Malaysia kerana kos pembinaannya adalah hasil lebihan wang korban anjuran PKPU dan juga dana wakaf yang dijalankan sejak tahun 2009.

“Kompleks itu menawarkan pendidikan kepada umat Islam Kemboja bermula di peringkat rendah hingga peringkat tinggi. Ini juga adalah hasil memorandum kerjasama antara PKPU dan Pakatan Intelektual Muslim Kemboja (CMIA) yang ditandatangani pada 11 Januari 2010,” jelasnya.

Mohd. Ajib berkata, rombongan ekspedisi akan berada di Phnom Penh pada 25 hingga tengah hari 27 September sebelum bertolak menaiki bas ke Ho Chi Minh City, Vietnam.

Selain berkorban dan mengagihkan daging kepada penduduk tempatan, rombongan juga dijadual melawat masjid-masjid di kedua-dua negara selain ke tempat bersejarah dan tempat membeli belah.

“Diharap ekspedisi ini mendapat sambutan menggalakkan daripada umat Islam Malaysia dalam usaha kita memberi keceriaan kepada saudara seagama di sana menyambut Aidiladha selain mendapat peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/ekspedisi-kasih-dan-korban-pkpu-1.136934#sthash.6Zl8umrr.dpuf

No comments:

Post a Comment