Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Thursday, September 10, 2015

Masyarakat ambil jalan mudah


DALAM mencari ilmu agama masyarakat tidak seharusnya bergantung kepada kuliah atau ceramah agama sahaja, tetapi juga melalui pembacaan.- Gambar Hiasan

OLEH HASHNAN ABDULLAH | 10 September 2015

HAKIKATNYA masyarakat umum tidak berani mempertikai atau menolak mana-mana hadis Rasulullah SAW. Tambahan pula jika yang membacanya terdiri dalam kalangan pendakwah atau ulama yang umum menganggapnya sebagai berkaliber dan berilmu.


Jika ada pendengar yang curiga dan mengetahui mengenai kesilapan hadis yang disebut itu, biasanya mereka tidak berani untuk bersuara kerana terasa diri kerdil berbanding dengan pendakwah yang mempunyai 
nama itu.

Bagi seorang pakar psikologi Islam, Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham, senario itu wujud kerana sikap masyarakat umum menganggap soal agama tidak harus diragui atau dipertikaikan.

Malah, beliau menambah, terdapat juga dalam kalangan masyarakat umum yang takut atau bimbang untuk rasa ragu atau buat kajian terhadap hadis Rasulullah SAW yang disampaikan kepada mereka.

“Sikap sedemikian sebenarnya boleh mencetus perpecahan dalam kalangan umat Islam di peringkat akar umbi. Ini bukan sekadar boleh mendorong kewujudan ajaran sesat tetapi juga dalam soal melaksanakan perintah ibadat fardu dan sunat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi Fariza, apa yang lebih membimbangkan ialah sikap malas masyarakat akar umbi mempelajari ilmu agama, mereka lebih gemar mengambil jalan mudah dengan hanya bersandarkan kepada internet atau buku-buku agama yang berlambak dalam pasaran.

“Konsep pengajian agama Islam adalah mengutamakan aspek berguru dengan guru bertauliah. Kerana, tanpa guru, seseorang itu mudah salah faham tentang apa yang dibacanya.

“Salah faham sedemikian akan menyebabkan seseorang itu mengamalkan ibadat yang amat bertentangan dengan apa yang digariskan dalam Islam,” katanya.

Tambah Fariza, tindakan itu juga boleh menyebabkan seseorang Muslim itu hidup dalam ketakutan, sama ada disebabkan dosa yang telah dilakukannya sebelum ini atau gambaran peristiwa akhir zaman.

“Sedangkan apa yang ditekankan oleh Islam amat berbeza. Contohnya, gambaran kejadian akhir zaman diberitahu supaya kita semua bersedia dan tahu apa yang perlu dilakukan jika ia berlaku.

“Islam bukan suruh kita jadi jumud atau takut. Tetapi suruh buat amalan yang mampu kita lakukan bagi menghadapi tanda atau peristiwa akhir zaman,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/masyarakat-ambil-jalan-mudah-1.134116#sthash.sHlKrTu6.dpuf

No comments:

Post a Comment