Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Wednesday, September 16, 2015

Ibadah haji diteruskan


JEMAAH haji berjalan melintasi runtuhan kren di Masjidilharam di Mekah, Arab Saudi kelmarin.

MEKAH – Ibadah haji pada tahun ini akan diteruskan walaupun berlaku tragedi sebuah kren tumbang dan mengorbankan 107 orang di Masjidilharam, kota suci Mekah, kata pihak berkuasa Arab Saudi kelmarin.

Beratus-ratus ribu jemaah tiba di Mekah untuk menunaikan haji apabila sebuah kren gergasi berwarna merah dan putih tumbang dan menghempap sebilangan jemaah haji ketika ribut petir melanda pada Jumaat lepas.

Sebahagian kawasan di Masjidilharam terutamanya sekitar bangkai kren masih ditutup kepada orang ramai kelmarin. Kemalangan itu turut menyebabkan lebih 230 orang cedera.

Tidak ramai jemaah yang berduka akibat kemalangan tersebut. Situasi kelmarin memaparkan ramai jemaah merakam gambar bangkai kren itu dan meneruskan ibadat mereka.

“Saya berharap saya mati dalam kejadian ini kerana ia berlaku pada waktu suci dan di tempat suci (Mekah),” kata jemaah haji Mesir, Mohammed Ibrahim.

Kejadian itu berlaku kira-kira sejam sebelum waktu solat Maghrib pada Jumaat lepas.

Jemaah haji Indonesia dan India ialah antara mangsa yang terkorban dalam tragedi itu , manakala mereka yang cedera pula termasuk dari Malaysia, Mesir serta Iran.

Seorang pegawai Arab Saudi berkata, ibadah haji yang dijangka bermula pada 21 September ini akan diteruskan walaupun tragedi tersebut berlaku.

“Kemalangan ini pasti tidak akan mempengaruhi musim haji, manakala kawasan yang terjejas akan dipulihkan dalam masa beberapa hari,” katanya.

Sementara itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman kelmarin menjanjikan siasatan menyeluruh untuk me­ngenal pasti punca kemalangan itu.

“Kami akan menyiasat semua sebab dan kemudian mengumumkan hasil siasatan kepada orang ramai,” kata baginda selepas melawat lokasi kejadian. – AFP

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0914&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3lokfeXmD

No comments:

Post a Comment