Norizan Sharif - Gambar Fail
1. Sewaktu saya belajar di universiti dulu, beberapa orang pemimpin pelajar menggelar ulama yang tak sehaluan dengan mereka sebagai "ulama kain pelikat" dan "ulama terompah."
2. Mungkin kerana mereka belajar di Amerika Utara, maka lepasan dari Timur Tengah dilihat sebagai cukup ortodoks.
3. Selepas itu, kita didendangkan dengan gelaran "ularmak," "ular dalam semak" dan "alamak," iaitu satu bentuk penghinaan kepada ulama yang tidak separti dengan mereka. Peliknya, yang memberikan gelaran itu juga dipanggil ulama oleh pengikut-pengikut mereka.
4. Budaya mencerca ulama berakar umbi dalam masyarakat. Ada seorang bergelar "Doktor" memanggil bekas mufti dengan perkataan "kepala bapak." Pergi ke YouTube, kita dapat melihat bagaimana orang yang digelar ulama oleh pengikut-pengikut mereka memberikan gelaran buruk kepada ulama lain. Bapa borek, anak rintik!
5. Anak muda yang jahil meniru akhlak ini. Akhirnya, institusi ulama menjadi mainan, sama seperti institusi-institusi lain dalam masyarakat. Secara tidak sedar, kita meruntuhkan satu persatu institusi dalam masyarakat.
6. Apabila Ustaz Kazim Elias berbeza pendapat dengan Dr Yusof Al-Qardawi dalam isu DNA babi, kedua-duanya kena cerca. Saya cukup yakin orang yang mencerca itu tidak faham asas hujah dalam isu yang dibahaskan.
7. Saya sekadar ingin mengingatkan, dalam masyarakat yang menjunjung budaya ilmu, perkara pokok bukanlah "siapakah" yang memberikan pendapat, tetapi "apakah" hujah yang diberikannya.
8. Selagi kita tidak faham hujah, tak perlu mengulas apa-apa. Setakat baca tajuk akhbar atau portal berita, tak payahlah nak ulas. Elok diam.
9. Pada masa yang sama, kita berharap para ulama juga usahlah ghairah menghukum orang, termasuklah mendoakan yang tidak baik, apatah lagi mengkafirkan sesama Islam.
10. Sekiranya ulama sendiri tidak memelihara institusi itu, usah salahkan orang jahil menyerang ulama.
11. Persoalannya ialah, adakah itu yang kita mahu?
Norizan Sharif
__________________
* Norizan Sharif adalah seorang penganalisis politik dan penulis buku Tunggu Apa Lagi?
** Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
No comments:
Post a Comment