Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Friday, June 6, 2014

Waris MH370 rayu jumpa timbalan menteri luar

Waris penumpang MH370 ingin mengetahui dengan jelas apakah rancangan khusus jawatankuasa dan tindakan secara berterusan dalam membantu waris menghadapi waktu sukar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Jun, 2014.

Waris penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 merayu Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin untuk hadir dalam satu pertemuan yang akan diadakan minggu hadapan.

‎Waris MH370 berkata, tujuan pertemuan itu diadakan bagi mendapat penjelasan daripada timbalan menteri itu yang juga selaku pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang MH370 dengan lebih mendalam.

Ini termasuklah mengenai tugas jawatankuasa itu yang diarahkan ke luar negara bagi menyelia waris penumpang‎ MH370.


Selain itu waris MH370 menyatakan sudah menyerahkan surat permohonan menjemput Hamzah hadir dalam pertemuan itu hari ini dan menjangkakan menerima maklum balas daripada pihak menteri terbabit pada 11 Jun ini.



"Kami waris penumpang MH370 memohon satu pertemuan diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Waris Penumpang Datuk ‎Hamzah Zainuddin di mana turut menghantar surat salinan tersebut pada Pemangku Menteri Pengangkutan, Ketua Pengarah Eksekutif Malaysia Airlines System Bhd (MAS) dan Pusat Sokongan Keluarga MAS.

"Kami ingin mengetahui dengan jelas apakah rancangan khusus jawatankuasa dan tindakan secara berterusan dalam membantu waris menghadapi waktu yang sukar," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu juga memetik waris penumpang MH370‎ berharap menteri yang bertanggungjawab menguruskan hal itu dapat membantu mereka untuk terbabit secara tidak langsung dalam taklimat bersama Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC).

"Kami juga berharap dapat berbincang dengan beliau dalam perkara di bawah bidang kuasanya.

"Selain itu, kami juga berharap adanya satu taklimat daripada beliau atau JACC berkenaan perkembangan operasi MH370," katanya.

Ekoran buntu dengan pencarian pesawat malang itu, MAS pada 7 Mei lalu mengumumkan akan menutup Pusat Bantuan Keluarga di seluruh dunia dan ahli keluarga penumpang diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

"Pihak kami akan berhubung secara rapat dengan ahli keluarga penumpang menerusi panggilan telefon, mesej, internet dan perjumpaan. Dengan sokongan kerajaan Malaysia, Pusat Bantuan Keluarga akan dibuka di Kuala Lumpur dan Beijing," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya

Penerbangan MH370 membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudiannya difahamkan ia melencong daripada laluan asalnya dan berakhir di selatan Lautan Hindi. – 6 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment