Iklan Kite
Thursday, June 5, 2014
Tok Guru, pulanglah kepangkuanku
NASRUDIN HASSAN | 05 Jun 2014.
1. Rasa terkilan, sedih dan berbaur pelbagai rasa mengenang Tok Guruku Ayahanda Abdul Hadi yang kini terlantar di hospital nun jauh di negara orang, sedang aku tidak mampu untuk pergi menziarahinya. Hanya sekadar mengirim salam melalui orang yang mampu pergi menziarahi tokoh Daei ummah itu. Entahkan salamku sampai atau tidak? Entahkan Tok Guru perasan aku menitip salam dan doa buatnya atau tidak? Aku tidak tahu dan ia membuatkan diri ini makin sedih dan sayu.
2. Tok Guru bagai ayahku sendiri biarpun ia bukan ayah kandungku. Aku membesar di mihrab ilmunya dan Tok Gurulah sumber inspirasiku sejak remaja, tempat aku menadah ilmu wahyu di Masjid Rusila. Aku juga sempat menghadam sebahagian besar buku Ma'alim Fit Toriq dari bimbingan ayahanda Tok Guru sewaktu aku berkampung di Rusila suatu ketika dahulu. Kefahaman Islam yang diterapkan oleh Tok Gurulah menyebabkan aku meninggalkan pengajianku di Sekolah Menengah Marang ke Pondok Pasir Tumbuh bagi mendalami urusan agama dan perjuangan Islam ini. Kerana aku mahu menjadi seperti Tok Guru.
3. Kini Tok Guruku telah dimamah usia dan lebih mencerut rasa apabila Tok guru terlantar di hospital sementara aku terpaksa mengatur pelbagai aktiviti santai dan rehlah bersama anak isteri bagi meredakan resah dan rasa pilu ekoran hilang upaya untuk terbang ke Istanbul menziarahi Tok Guru. Aku selidik harga tiket dan sekurang-kurangnya aku perlukan RM3500 untuk sampai ke sana. Setinggi-tinggi penghargaan aku ucapkan kepada Geng Ustaz yang bertungkus lumus memungut dana dari anggota Geng Ustaz bagi menghantar aku ke Instanbul. Tapi jauh disudut hati ini, tak sanggup pula aku menyusahkan sahabat-sahabat Geng Ustaz yang sememangnya bekerja keras mencari dana untuk urusan kebajikan ummah serta program pencerahan agama kepada masyarakat. Biarlah wang itu digunakan untuk kepentingan yang lebih umum.
4. Aku terus mendoakan Tok Guru agar segera sihat dan segera pulang. Sungguh aku merinduimu Tok Guru. Entah mengapa? Tiba - tiba sahaja hati ini diserang rasa rindu yang tidak tertahan. Air mata deras mencurah sehingga anak dan isteri kehairanan, untuk siapa kesedihan itu. Ya Allah... Bilakah Tok Guru akan pulang? Cepatlah balik... Jangan lama-lama di sana, aku merinduimu. Ya Allah... Kurniakan keafiatan buat Tok Guru! Kerana aku yakin ummah masih memerlukan bimbingan dan pimpinan Tok Guru, biarpun ramai juga memusuhi Tok Guru malah bergembira apabila Tok Guru sakit begitu. Demi Allah! Pulanglah Tok Guru, aku sanggup mendepani musuh-musuh itu bersamamu bagi menegakkan Islam dan syariatnya di bumi bertuah ini.
5. Secara zahirnya, aku tidaklah rapat dengan Tok Guru sebagaimana rapatnya Dr Samsuri setiausaha politiknya kerana beliau selalu mengiringi Tok Guru ke mana sahaja. Bukan aku tidak mahu mendampingi Tok Guru sepanjang masa. Tuhan sahajalah tahu perasaan ini, betapa aku ingin mendampingi sepanjang masa sehingga aku juga dapat rasa keberuntungan sahabatku Ustaz Khalil yang menjadi anak kandung Tok Guru. Begitulah aku juga sangat cemburu dengan keberuntungan milik sahabatku Ust Nik Mohd Abduh yang menjadi anak kandung kepada Tok Guru Nik Aziz. Ya Allah... Sebetulnya, Aku tidak mahu kehadiranku disamping Tok Guru mengganggu rehat dan keselesaannya. Aku tak banyak berbual dengan Tok Guru kerana aku bimbang tersalah cakap lalu mengguris perasaannya. Aku tidak berhujjah mempertahankan kepimpinan dan keputusan Tok Guru dihadapannya kerana aku bimbang meninggi suara dihadapannya lalu menjatuhkan air mukanya. Aku hanya berlagak biasa dihadapannya sedang aku mahu menjadi orang yang dekat dan rapat dengan Tok Guru seperti dekat dan rapatnya sahabat se"Besut"ku Dr Samsuri.
Ya Allah ! Bawalah pulang Tok Guru kepangkuanku segera! Aku sedang menanti penuh kerinduan!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment