Iklan Kite
Wednesday, June 4, 2014
'Arahan potong lagi cukai bebankan penjawat awam'
Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Arahan CP38 (potongan cukai tambahan secara ansuran) bermula 16 Jun ini sebagai tidak kena pada masanya dan hanya menambah beban kepada penjawat awam.
Presiden Cuepacs Azih Muda berkata kaedah Pemotongan Cukai Berjadual (PCB) sedia ada sudah cukup memberi tekanan kewangan kepada kumpulan pekerja ini yang menjangkau 1.4 juta orang.
"Cuepacs merasakan (PCB) yang sedia ada kepada penjawat awam masih belum selesai. Mereka dipaksa bayar awal kepada LHDN dan selaraskan kemudian. Kalau terlebih bayar, lambat pula dipulangkan.
"Kami merasakan dengan kekangan kos yang semakin meningkat dan pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Jualan) tak lama lagi, kerajaan (seharusnya) mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan sehingga gaji RM8,000 dalam bajet 2015," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam LHDN mengeluarkan kenyataan berhubung Arahan CP38 kepada majikan bertujuan melunaskan tunggakan cukai sedia ada.
Dalam kenyataan itu, LHDN berkata arahan itu akan dikenakan kepada 156,158 pembayar cukai individu melibatkan amaun tunggakan cukai berjumlah hampir RM418 juta.
Mengulas lanjut, Azih berkata lebih wajar jika tindakan itu ditangguh dan diperhalusi dahulu serta difikirkan semula sama ada ia benar-benar sesuai untuk dilaksanakan.
"Kerajaan minta tingkatkan produktiviti, prestasi, tetapi pada masa sama memberi tekanan kepada mereka.
"Sedangkan golongan penjawat awam terpaksa memikirkan pasal harga rumah yang mahal, pendidikan anak-anak, kos sara hidup meningkat dan sebagainya," katanya.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment