Eksperimen selama setahun itu dijadual bermula pada 1 Julai ini
STOCKHOLM: Sektor kerajaan di sebuah bandaraya di Sweden akan memulakan eksperimen dengan melaksanakan tempoh kerja enam jam sehari. Waktu kerja yang disingkatkan itu tidak menjejaskan gaji yang mereka terima.
Eksperimen selama setahun itu dijadual bermula pada 1 Julai ini, lapor agensi berita AFP.
Melalui eksperimen itu, kakitangan terlibat akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Sebuah kumpulan akan bekerja selama enam jam sehari manakala sebuah kumpulan lagi akan bekerja macam biasa lapan jam sehari.
"Kita akan bandingkan dua kumpulan itu kemudian untuk melihat sejauh mana mereka berbeza," kata Timbalan Datuk Bandar Gothenburg, Mat Pilhem seperti dipetik oleh akhbar The Local.
Eksperimen ini diatur untuk menguji tanggapan bahawa jam kerja yang pendek akan meningkatkan produktiviti pekerja.
"Kita berharap kakitangan terlibat akan kurang mengambil cuti sakit dan mempunyai tahap mental serta fizikal yang lebih baik selepas bekerja dengan waktu kerja yang lebih singkat," tambah Pilhem.
Berbanding budaya kerja misalnya di Amerika Syarikat yang sangat bergantung kepada kopi untuk kekal produktif dalam jam kerja yang panjang, kebanyakan pekerja di negara-negara maju dan membangun menyaksikan penurunan produktiviti di kalangan pekerja yang terpaksa bekerja lebih masa.
"Kawan-kawan bencikan saya," kata Robert Nilsson kepada AFP. Dia seorang mekanik di Gothenburg yang masuk kerja pada tengahari dan pulang pada 6 petang. "Kebanyakan mereka fikir oleh sebab saya kerja enam jam sehari, saya tidak sepatutnya dibayar gaji lapan jam."
Pakar ekonomi, John M. Keynes sebelum ini meramalkan menjelang tahun 2030, hanya pekerja yang paling berdedikasi sahaja akan bekerja lebih daripada 15 jam seminggu.
No comments:
Post a Comment