Oleh Othman Mustapha
Agama ajar penganut akhlak baik, bukan rencana kezaliman di sebalik hak asasi
Fahaman humanrightisme berasaskan pemikiran humanisme, sekularisme dan liberalisme adalah ancaman atau serangan baharu kepada umat Islam. Fahaman itu kini seolah-olah menjadi satu cabang agama baharu yang pesat berkembang di dalam dan luar negara.
Kebimbangan terhadap ancaman pemahaman bersifat songsang ini disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-57 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, minggu lalu.
Hak kebebasan mutlak hanyalah retorik semata-mata. Laungan itu tidak lain hanyalah dicetuskan untuk meraih keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, pemikiran sesat ini adalah ancaman yang berbahaya kepada akidah dan syariat Islam kerana mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata serta menolak sebarang sistem nilai yang merangkumi normal agama serta adab susila.
Malaysia bukan negara yang menolak hak asasi, namun berpegang pada prinsip kesucian Perlembagaan dan undang-undang, mendokong kesopanan dan tatasusila serta hak beragama, penting untuk Malaysia meletakkan garis panduan bagi menjaga keharmonian serta ketinggian moral masyarakatnya.
Kita perlu sedar, semua agama mengajar penganutnya dengan akhlak yang baik kerana itulah asas kepada pembentukan sebuah masyarakat harmoni. Meletakkan fahaman liberalisme dan moral songsang akan menyebabkan masyarakat celaru, akhirnya membawa kepada kemusnahan negara.
Mereka yang taksub dan mengagungkan ideologi liberal-sekular Hak Asasi Manusia dicipta oleh Barat sebenarnya tidak bertamadun kerana fahaman itu bercanggah dengan fitrah manusia.
Rencana kezaliman di sebalik hak asasi
Lagipun, negara yang dipandang sebagai pejuang hak asasi itu sebenarnya yang merencana kezaliman, penindasan, penjajahan dan pencerobohan tetapi berselindung di sebalik laungan perjuangan hak asasi.
Hakikatnya pejuang hak asasi manusia di negara ini telah terkeliru sama ada pencabulan hak asasi manusia yang didakwa berlaku disebabkan agama, polisi kerajaan atau akibat nafsu manusia itu sendiri.
Mereka secara terang-terangan telah menyalahkan agama kerana bercanggah dengan hak kebebasan mutlak seorang manusia. Agama telah menetapkan beberapa peraturan hidup supaya manusia menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi.
Kerajaan telah menguatkuasakan peraturan itu supaya ia dipatuhi. Apakah penganut humanrightisme ini tidak menyedari di sebalik laungan menuntut hak asasi secara bebas, sebenarnya ia menjejaskan hak orang lain pula?
Apakah mereka tidak menyedari di sebalik kebebasan seks rambang ia membiakkan pelacuran dan anak tidak sah taraf? Oleh sebab itu, hak kebebasan mutlak hanyalah retorik semata-mata. Laungan itu tidak lain hanyalah dicetuskan untuk meraih keuntungan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Keyakinan mendalam mengenai keadilan, kewajipan berpolitik, bersosial, mempertingkatkan ekonomi di samping keazaman untuk melaksanakannya tidak datang dari jiwa yang kosong dan pemikiran yang rosak.
Sebaliknya, keazaman untuk menepati tuntutan keadilan, perisytiharan hak asasi dan moral yang disanjung tercetus daripada keyakinan tinggi kepada Pencipta dan pegangan yang kuat dalam beragama.
Agama bentuk pemikiran
Ini kerana agama membentuk pemikiran, kecenderungan dan keinsafan tinggi terhadap suruhan kepada kebaikan serta kesejahteraan sesama insan seperti dianjurkan dalam agama Islam.
Islam sebagai agama yang bersumberkan kepada bimbingan Ilahi adalah agama yang mula-mula mengisytiharkan prinsip kebebasan dan hak asasi manusia baik secara teori mahupun amali.
Justeru, semua pihak perlu menerima hakikat walaupun zaman semakin maju dengan kecanggihan tanpa batas, namun undang-undang dan agama yang mengawal tatasusila manusia masih relevan untuk memastikan manusia tidak melakukan kebejatan moral tanpa batas.
Oleh itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) rela berbeza pandangan dengan dunia antarabangsa jika itulah yang diperlukan untuk mempertahankan kewujudan undang-undang jenayah syariah yang mengawal tatasusila dan moral umat Islam.
Jika undang-undang jenayah syariah ini dihapuskan, ia akan memberi laluan kepada pengiktirafan terhadap golongan tercelaru mental ini, seterusnya mengangkat gaya hidup tidak beretika.
JAKIM terbabit secara langsung mengadakan dialog antara agama melalui forum khas yang diwujudkan oleh kerajaan iaitu Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama.
Forum pupuk jaga perpaduan
Melalui forum itu perbincangan antara agama diadakan bertujuan memupuk dan menjaga perpaduan serta keharmonian. Impak daripada dialog itu amat baik dan berdasarkan maklum balas, usaha itu perlu diteruskan.
JAKIM sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar pendapat agama lain mengenai agama Islam tetapi ia perlu berlandaskan kepada usaha memahami kepelbagaian agama, bukan untuk mempersoalkan keistimewaan diberikan Perlembagaan Persekutuan terhadap agama Islam.
Hak asasi manusia yang dilihat sebagai nilai sejagat yang dikongsi perlu mengambil kira ciri khas sesebuah negara dan rantau termasuk sejarah, budaya serta agama. Ini penting khususnya kepada Malaysia bagi mengekalkan keharmonian rakyat dalam kepelbagaian bangsa dan agama.
Amanat Perdana Menteri bertepatan dengan konsep menjaga maqasid syariah yang juga bersifat sejagat iaitu menjaga agama, akal, harta, nyawa dan keturunan kerana ia satu bentuk ‘perjanjian’ yang disepakati semua tamadun di dunia ini.
Penulis ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment