Misteri kehilangan pesawat MH370 masih menjadi tanda tanya sejak ia dilaporkan hilang dari radar pada 8 Mac lalu.
Azyyati Ahmad
KUALA LUMPUR: Penulis buku dan juga seorang juruterbang pesawat komersial, Ewan Wilson menyifatkan kehilangan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 adalah sebagai sesuatu yang telah dirancang dan disengajakan.
Wilson menulis perkara berkenaan bersama wartawan dari New Zealand, Geoff Taylor, di dalam bukunya yang bertajuk ‘Good Night Malaysia 370: The Truth Behind the Loss of Flight 370’ (Selamat Malam Malaysia 370: Kebenaran di sebalik kehilangan MH370).
Sebuah portal online United Kingdom, The Independent melaporkan salah satu kandungan buku tersebut adalah temubual bersama salah seorang saudara Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Di dalam buku tersebut, Wilson dan Taylor membuat kesimpulan mereka sendiri selepas menyiasat dan menganalisa laporan mengenai kehilangan MH370 yang dikatakan berunsur jenayah.
The Independent turut memetik kata-kata Wilson kepada satu laman portal berita di New Zealand, Stuff.co.nz yang berkata “Buat pertama kali kami memaparkan analisis terperinci laluan penerbangan yang luar biasa dan siapa yang dipercayai mengemudi pesawat tersebut sehingga ia menjunam di Lautan Hindi”
Taylor juga percaya pihak berkuasa terhutang untuk memberi ‘penjelasan mengenai kebenaran’ insiden MH370 kepada waris-waris 239 anak kapal.
“Demi waris dan keluarga penumpang kapal, kebenaran perlu diperjelaskan.
“Kami ada melawat balai perlepasan ketika kejadian, dimana ahli keluarga menunggu dengan penuh harapan. Tentu mereka berhak mengetahui kebenaran yang ditutup sekian lama” kata Taylor kepada Stuff.co.nz.
Taylor juga menambah “Apa yang terjadi kepada pesawat MH370 bukanlah satu kemalangan. Ia adalah sesuatu yang disengajakan dan dirancang dan ia tidak sepatutnya berlaku”.
Sudah masuk 100 hari, misteri kehilangan pesawat MH370 masih menjadi tanda tanya sejak ia dilaporkan hilang dari radar pada 8 Mac lalu.
Teori kehilangannya makin hebat diperkatakan lebih-lebih lagi apabila Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pada 29 Mei menyimpulkan bahawa kawasan laut dalam di Lautan Hindi yang menjadi tumpuan operasi pencarian pesawat MH370 sebagai bukan kawasan pesawat MH370 hilang.
Baru-baru ini,seramai tujuh keluarga waris penumpang pesawat MH370 turut menerima pembayaran pendahuluan berjumlah AS$50 ribu, daripada MAS.
No comments:
Post a Comment