Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Wednesday, June 4, 2014

Anak Taib Mahmud: ‘Aset saya bukan bernilai berbilion’


KUALA LUMPUR - Taikun Sarawak, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib menafikan bahawa beliau mempunyai aset bernilai berbilion seperti yang didakwa oleh bekas isterinya Shahnaz A. Majid, dalam sesi pendengaran kes tuntutan mutaah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Mahmud , 51, berkata butiran mengendai dakwaan asetnya direka oleh seorang bekas anggota polis warga Kanada, Cullen Johnson yang dipenjarakan.

Mahmud berkata, ketika Johnson meletakkan jawatan sebagai anggota polis, beliau menjadi penyiasat dan berdasarkan laporan oleh Badan Penyiaran Kanada, Johnson dan isterinya, Elaine White ditawarkan khidmat untuk mengesan aset kepada plaintif dalam kes-kes penceraian di Amerika Syarikat dan Kanada.

Apabila peguamnya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar bertanyakan Mahmud mengenai apakah hubungan antara Shahnaz dan Johnson, Mahmud menjawab: “Saya menghantar seorang penyiasat ke Amerika Syarikat dan kemudiannya mendapati plaintif (Shahnaz) telah mendapatkan khidmat daripada Johnson pada 2012.”

Mahmud, yang juga Pengarah Cahya Mata Sarawak Berhad, berkata bahawa sejak 2009, Johnson dikenali mereka dokumen palsu dengan menukar nama, nombor akaun bank dan jumlah wang.

“Johnson dan Elaine melarikan diri dari Kanada pada 2010 tetapi kemudiannya ditahan di Pulau Turks dan Caicos di Caribbean.

“Pada masa ini, mereka dipenjarakan di Amerika Syarikat atas tuduhan memalsukan dokumen bank,” katanya pada hari pertama memberi keterangannya dalam perbicaraan kes tuntuntan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan oleh Shahnaz, 51.

Terdahulu, anak Gabenor Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud berkata, beliau berkahwin dengan Shahnaz pada 9 Januari 1992, tetapi mereka bercerai pada 11 Mei 2011.

Mengimbas kembali perkahwinannya dengan Shahnaz, Mahmud berkata, mereka mempunyai perkahwinan yang bahagia dan anak lelaki mereka Raden Murya Abdul Taib dilahirkan pada 11 Disember 1993.

“Sikap plaintif terhadap saya mula berubah pada akhir 1994 apabila dia mula mempersoalkan tindakan saya, sama ada secara peribadi atau tugas saya.

“Sebagai contoh, dia akan memeriksa badan saya untuk melihat sekiranya terdapat mana-mana calar kerana dia berfikir bahawa saya mempunyai hubungan sulit,” katanya.

Katanya, beliau kemudian berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1998 dan tinggal di rumah bapanya di sini manakala Shahnaz terus tinggal di rumah yang merupakan harta sepencarian semasa berkahwin di Kuching, Sarawak, sehingga 1999.

“Tahun yang sama juga saya mendapat pinjaman RM1.5 juta untuk membeli sebuah rumah di Damansara untuk plaintif dan anak kami dan pada masa itu harganya RM2 juta tetapi sekarang harganya kira-kira RM7 juta,” katanya.

Mahmud berkata, rumah itu di bawah nama Shahnaz dan dia membayar pinjaman itu yang telah pun dilunaskan.

Katanya, beliau juga membeli tiga kenderaan – Mercedes Benz S bernilai RM800,000, BMW X5 (RM600,000) dan sebuah jip Cherokee (RM500,000) – di bawah Shahnaz atau nama syarikat anaknya.

Shahnaz menuntut RM400 juta, yang mana RM300 juta adalah untuk harta sepencarian sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes perceraian.

Beliau turut menuntut 50% daripada semua aset yang dimiliki oleh Mahmud, termasuk kereta mewah, rumah-rumah di pelbagai lokasi, tanah di Sarawak dan saham.

Hakim Syarie Muhamad Abdul Karim Wahab kemudiannya menangguhkan perbicaraan itu kepada 24 Jun apabila Mahmud dijangka akan terus memberikan keterangannya, lapor mStar.

No comments:

Post a Comment