Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Wednesday, June 11, 2014

Umno jangan mudah lupa budi institusi kesultanan Melayu


Oleh Nur Jazlan

Di sebalik usaha akhbar Utusan Malaysia untuk menangguhkan rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), rang undang-undang berkenaan akhirnya, diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam selepas tiga jam dibahaskan.

Rang undang-undang berkenaan yang secara tiba-tiba menjadi kontroversi apabila disiarkan di muka depan akhbar berkenaan bermula Jumaat lalu, dikatakan secara langsung membabitkan campur tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim dalam pentadbiran kerajaan Johor melalui penubuhan LPHJ.

Utusan Malaysia dalam siri laporan mengenai LPHJ secara langsung mempertikaikan pembabitan Tuanku Sultan Johor dalam LPHJ dengan mendapatkan pandangan beberapa pakar undang-undang termasuk daripada Dr Aziz Bari daripada PKR yang juga calon PKR dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 13.

Berikutan itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terpaksa membuat pembetulan dalam beberapa fasa rang undang-undang berkenaan yang menyebut mengenai Sultan dan menggantikannya dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri bagi mengelakkan rang undang-undang berkenaan terus disensasikan.

Bagaimanapun, ramai juga pemerhati yang membuat kesimpulan apabila Utusan Malaysia membuat siri laporan mengenai LPHJ terutama sekali menentang pembabitan Sultan Johor dalam lembaga berkenaan, ia sama sekali menunjukkan sifat hormat terhadap institusi kesultanan Melayu yang menjadi tiang seri kepada Sistem Demokrasi Raja Berpelembagaan turut terhakis.

Apa yang dilakukan Khaled untuk membetulkan rang undang-undang LPHJ sebelum ia dibentangkan dalam sidang DUN adalah langkah yang tepat, tetapi ia juga memberikan pelbagai tafsiran atau dalam kata lain, 'damage has been done'.

Saya bukan pakar undang-undang atau pakar dalam Perlembagaan namun, sebagai Ahli Parlimen Pulai di kawasan Iskandar Malaysia dalam Jajahan Takluk Tuanku Sultan Johor, laporan Utusan Malaysia yang setiap hari dipaparkan di muka depan akhbar berkenaan sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan positif terhadap institusi Diraja Johor.

Seharusnya, Prinsip Kedua dalam Rukun Negara, iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara perlu didokong semua pihak dalam memberikan pandangan serta tafsiran terhadap pembentangan rang undang-undang berkenaan, termasuk menjaga sensitiviti institusi kesultanan Melayu.

Adalah sesuatu yang begitu ironi apabila institusi kesultanan Melayu dalam hal ini, Istana Johor diheret dalam polemik ini, sedangkan yang membentangkan rang undang-undang berkenaan adalah menteri besar Johor bukannya Sultan Johor.

Umno yang lahir di tangga Istana Besar Johor pada 1946, perlu mengenang semula sejarah kumpulan orang Melayu yang berhimpun di sana pada ketika itu, sebenarnya bertujuan untuk mempertahankan institusi kesultanan Melayu daripada Malayan Union.

Berkat daripada kesepakatan antara rakyat dan institusi kesultanan Melayu lah, Umno hidup sehingga ke hari ini, malah, mungkin ramai yang tidak mengetahui arwah ayahanda saya, Tok Mat ketika menjadi setiausaha agung Umno dan mahu menghidupkan semula Umno pada 1988.

Sultan Johor ketika itu, almarhum Sultan Iskandar mencemar duli bagi memberikan perkenan baginda terhadap sambutan ulang tahun Umno di Istana Besar dalam satu majlis bersama ahli Umno, sekali gus memberikan 'legitimacy' kepada Umno Baru bukannya kepada Semangat 46.

Begitu sekali, ikatan yang terjalin antara Umno dan institusi diraja Johor dan dengan perkenan dan sokongan daripada belakang tabir inilah parti Umno ditubuhkan, diharamkan dan dihidupkan semula, sehingga Umno terus menjadi parti terbesar orang Melayu sehingga dianggap sebagai parti keramat orang Melayu hingga ke hari ini.

Selain itu, adakah Umno atau rakyat terlupa institusi kesultanan Melayu yang mengembalikan kuasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Perak pada 2009 sedangkan pada ketika itu, almarhum Sultan Perak, Tuanku Sultan Azlan Shah mempunyai pelbagai pilihan termasuk membubarkan sidang DUN bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri.

Bagaimanapun, sebagai seorang Sultan yang berpandangan jauh dan mengutamakan kepentingan rakyat di atas kepentingan politik, almarhum Sultan Azlan Shah dengan kuasa yang ada pada baginda membuat keputusan memihak kepada BN dan Umno.

Sememangnya, apa yang berlaku di Perak tidak boleh disamakan dengan keadaan yang berlaku di Johor dengan pembentangan LPHJ tetapi ia seharusnya membawa kepada maksud yang sama iaitu mempertahankan institusi kesultanan Melayu.

Dalam keadaan perpecahan orang Melayu semakin melebar dalam politik apabila terbahagi kepada penyokong Umno, PAS, PKR dan kini DAP, siapa yang diharapkan akan sentiasa membela nasib orang Melayu tanpa mengambil kira latar belakang politik.

Sudah pasti jawapannya, adalah institusi kesultanan Melayu yang sentiasa melihat dan mengutamakan kepentingan orang Melayu di negara ini, tanpa cenderung kepada mana-mana pengaruh politik.

Umum mengetahui kepesatan Iskandar Malaysia termasuk dalam kawasan Parlimen saya, sememangnya memerlukan keseimbangan antara keperluan pelabur asing dan masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, sudah pasti LPHJ akan menjadi pusat terbaik bagi kerajaan negeri melihat semula secara keseluruhan kedudukan perumahan serta pasaran hartanah di Johor terutama sekali yang membabitkan masyarakat setempat.

Namun, tidak disangka usaha murni Sultan Johor yang saya pasti tidak mahu campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri, disalah ertikan sedangkan baginda mahu memastikan kesejahteraan rakyatnya sentiasa terpelihara.

Kita semua mengetahui semua urusan pentadbiran kerajaan negeri sebenarnya, sentiasa perlu mendapat pekenan dan dimaklumkan kepada Sultan, dan perkara ini, bukan sekadar terhad di Johor tetapi turut membabitkan semua negeri.

Jadi sudah menjadi kewajipan kepada menteri besar untuk menasihatkan Sultan dengan sebaik-baiknya bagi memastikan segala urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada', itulah ungkapan yang perlu dipegang semua menteri besar dengan sentiasa tidak membelakangkan urusan pentadbiran kerajaan negeri daripada pengetahuan Sultan.

Pada pendapat saya, polemik LPHJ ini, boleh dielakkan sekiranya, Khaled selaku menteri besar memberikan pandangan yang mendalam, terperinci dan menasihati pembabitan Sultan Johor dalam lembaga berkenaan.

Sudah pasti, Sultan Ibrahim mengetahui batas-batas perundangan yang mengikat baginda selaku Sultan Johor dengan badan eksekutif iaitu kerajaan negeri bagi mengelakkan berlaku campur tangan istana dalam kerajaan negeri.

Ada kemungkinan Sultan Johor kecewa dengan prestasi pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini, yang dilihat terlalu perlahan dalam membina rumah mampu milik untuk rakyat tempatan berbanding perumahan mewah hingga mendorong baginda mahu berperanan dalam LPHJ.

Sebagai seorang Sultan yang berpandangan jauh, Sultan Ibrahim sering meluahkan rasa kecewa kerana tidak banyak perumahan mampu milik untuk rakyat khususnya, orang Melayu dibina dengan cepat bagi mengimbangi kepesatan perumahan mewah di kawasan Iskandar Malaysia khususnya.

Dalam keghairahan kita mengkritik pembabitan Sultan Johor dalam campur tangan pentadbiran kerajaan negeri, jangan sesekali lupa projek Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Sultan Iskandar tidak akan dapat disiapkan mengikut jadual sekiranya, penduduk di flat Bukit Cagar dan Lumba Kuda tidak dipindahkan.

Bagi menyelesaikan masalah berkenaan, keluarga diraja Johor mengurniakan tanah di Pasir Pelangi bersebelahan dengan Istana Pasir Pelangi, tempat bersemayam Sultan Ibrahim untuk pembinaan Rumah Mampu Milik bagi menempatkan penduduk flat Bukit Cagar dan Lumba Kuda.

Penempatan semula penduduk flat berkenaan dalam kawasan Parlimen Johor Baru itu juga sebenarnya, adalah untuk mengekalkan kuasa politik Umno memandangkan penduduk di flat berkenaan majoritinya adalah penyokong tegar Umno.

Malah, Umno Johor juga kini, tidak boleh berbangga dengan rekod sebagai kubu kuat Umno dan ia dapat dilihat dalam keputusan PRU13 lalu, apabila pembangkang mula merintis jalan masuk ke Johor dan BN Johor hanya mendapat kerusi DUN yang 'cukup makan' bagi membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua per tiga.

Sudah pasti, apa yang berlaku di Perak mungkin berlaku di Johor memandangkan komposisi Perak dan Johor tidak jauh berbeza dan tiada kawasan Parlimen atau DUN yang benar-benar selamat di Johor selain di Parlimen Kota Tinggi dan Pengerang.

Disebabkan itu juga, pembangkang awal-awal lagi sudah menyatakan hasrat untuk menawan Johor pada PRU14, dan jika BN Johor hanya menang tipis untuk membentuk kerajaan, tidak syak lagi Sultan Johor akan menjadi penentu terhadap survival Umno di negeri itu, sekiranya krisis Perak pada 2009 berulang.

Saya sedar ramai yang mempertikaikan mengenai pembabitan Sultan Johor dengan syarikat-syarikat yang melabur dalam kawasan Iskandar Malaysia, ia sebenarnya, adalah kerjasama strategik yang dijalinkan seperti yang digalakkan kerajaan sendiri.

Malah ketika saya menjadi pengerusi UDA Holdings Bhd, ramai syarikat bukan Bumiputera yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat milik 'orang Umno' bertujuan untuk mendapatkan projek.

Kesan kerjasama strategik ini, kita dapat lihat Iskandar Malaysia mula menjadi tumpuan pelabur asing dan walaupun, fasa pembangunan ketika ini, lebih tertumpu kepada perumahan mewah tetapi niat baik Sultan Johor melalui penubuhan LPHJ ini, adalah untuk melihat keseluruhan struktur perumahan dan hartanah di seluruh Johor terutama sekali di Iskandar Malaysia.

Malah keprihatinan Sultan Johor pada rakyatnya juga diterjemahkan dengan Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan Baginda sendiri ketika menjadi Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan diteruskan saban tahun hingga ke hari ini.

Baginda adalah satu-satunya Sultan di negara ini, yang menjalankan aktiviti berkenana tanpa rasa penat dan jemu setiap tahun, semata-mata untuk berdamping dan bersama dengan rakyatnya.

Hakikatnya, generasi orang Melayu pada masa kini, tidak merasai kehidupan yang dinaungi institusi kesultanan Melayu secara langsung tetapi sebenarnya, institusi ini yang banyak menjaga kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya.

Pada suatu ketika dulu, sokongan orang Melayu sebelum dan selepas merdeka pada Umno begitu kuat dan tidak berbelah bahagi tetapi kini, rekod pilihan raya umum membuktikan sokongan orang Melayu tidak lagi kepada Umno semata-mata dan hanya tinggal peranan institusi kesultanan Melayu untuk terus menaungi perpaduan orang Melayu di negara ini.

Kita juga tidak boleh lupa pada sejarah Johor adalah negeri pertama di Tanah Melayu ketika itu, yang mengamalkan Sistem Raja Berpelembagaan melalui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor pada 1895, secara tidak langsung Undang-Undang Tubuh inilah, yang menjadi asas dan panduan kepada Perlembagaan Persekutuan pada masa ini.

Atas sebab itu, rang undang-undang LPHJ dibaca bersama dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, cuma tiada pihak yang menerangkan dengan jelas adakah undang-undang tubuh ini, tidak boleh lagi diguna pakai dan perlu menggunakan Perlembagan Persekutuan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan Johor.

Tambahan pula, penubuhan Malaysia adalah sebagai sebuah Persekutuan dan negeri-negeri masing mempunyai perlembagaan masing-masing dengan menteri besar masih memegang kuasa eksekutif untuk perkara utama seperti tanah dan sebagainya selain bertindak menasihatkan Sultan dalam soal ini.

Selain itu, polemik LPHJ ini, juga sudah pasti membuka mata rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak yang tidak pernah merasai pemerintah di bawah kuasa Sultan Melayu seperti yang berlaku di negeri-negeri di Malaysia Barat.

Kemungkinan selepas wujud segala isu yang disensasikan mengenai LPHJ, ia dikhuatiri akan mendorong kepada rasa kurang hormat institusi kesultanan Melayu memandangkan mungkin ada di antara mereka yang beranggapan Umno sendiri menentang pembabitan Sultan dalam pentadbiran kerajaan.

Selama ini, rakan-rakan BN di Sabah dan Sarawak menghormati Umno kerana mampu menarik sokongan majoriti masyarakat Melayu di Malaysia Barat serta mendapat sokongan daripada institusi kesultanan Melayu tetapi tidak mustahil mereka akan mula menggunakan pengaruh untuk meminta apa yang dijanjikan dalam perjanjian Persekutuan Malaysia jika, Umno tidak lagi menjadi parti yang disegani orang Melayu dan institusi kesultanan Melayu.

Sehubungan itu, adalah wajar segala kritikan terhadap institusi diraja Johor dihentikan kerana adalah tidak wajar dan bijak untuk orang Melayu khususnya Umno menolak peranan Sultan.

Sedangkan, institusi inilah yang menjadi banteng terakhir untuk mengekalkan kuasa orang Melayu di negara ini, seperti yang terjadi pada 1988 dan 2009. – 10 Jun, 2014.

* Artikel ini diambil daripada blog nurjazlan.net.


No comments:

Post a Comment