Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Thursday, June 5, 2014

Kontroversi Cadbury memalukan negara, Kementerian Kesihatan jadi sasaran



KUALA LUMPUR, Jun 4: Selepas Kementerian Kesihatan mengakui melakukan kesilapan berhubung pengumuman terdapat kesan Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi dalam kandungan dua produk coklat Cadbury termasuk tidak memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terlebih dahulu, ramai pihak termasuk rakyat mendesak Kementerian Kesihatan mengambil tindakan yang drastik termasuk memecat pegawai yang terlibat dengan kejadian tersebut.

The Malaysian Times (TMT) hari ini menerima pelbagai komen dan pandangan dari orang ramai yang melahirkan kebimbangan dan kekesalan mereka dengan insiden tersebut.

“Menteri Kesihatan perlu bertindak. Ini bukan masanya untuk menuding jari antara satu sama lain. Sekiranya Kementerian mengakui itu adalah kesilapan mereka. Ambil tindakan segera”, kata rata – rata pembaca ketika dihubungi TMT hari ini.

Mereka juga berpandangan kontroversi isu tersebut telah menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

Semalam Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, kesilapan berlaku apabila maklumat terhadap ujian makmal yang dijalankan ke atas produk-produk itu dibocorkan ke laman sosial selain pengumuman dibuat terlalu awal.

Katanya, sikap terburu-buru seorang pegawai kementerian membocorkan laporan awal ujian itu sebelum ujian kedua dijalankan telah menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Kebocoran maklumat awal siasatan itu adalah kesilapan daripada pegawai kami. Sikap terburu-buru telah menimbulkan kekeliruan dalam perkara ini. Saya mohon kepada semua untuk menerima keputusan Jakim. Satu kesilapan telah dibuat oleh pegawai kami dan kementerian sedang jalankan siasatan dalaman dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Pengumuman Kementerian Kesihatan berhubung penemuan DNA babi dalam dua produk Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel dan coklat susu dengan buah badam baru-baru ini telah mengejutkan umat Islam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury terbabit disahkan tiada DNA babi.

Menurut Dr. Hilmi, sebarang keputusan berkenaan status halal atau haram melibatkan sesuatu produk kelak akan diuruskan oleh Jakim.

“Orang ramai boleh meyakini siasatan Jakim yang telah membuat pengesahan produk itu tidak mengandungi unsur haram dan selamat dimakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menolak kewujudan sebarang unsur sabotaj melibatkan isu kebocoran ujian awal coklat Cadbury itu.

“Jakim dan Kementerian Kesihatan melakukan ujian makmal menggunakan prosedur operasi standard yang sama untuk mendapatkan keputusan. Kita mempunyai lebih 15 makmal bagi tujuan itu tetapi ujian Cadbury dibuat di Sungai Buloh sebelum maklumat mengenainya bocor tanpa pengesahan dalam ujian awal Februari lalu,” ujarnya.

Tambahnya, berbanding makmal yang digunakan Jakim, makmal kementerian tidak diakreditasikan untuk penentuan produk halal dan hanya digunakan untuk kajian dalaman.

MEMALUKAN – PERKASA

Isu kekeliruan berhubung kandungan coklat Cadbury yang dikatakan mempunyai DNA babi amat memalukan dan tidak boleh dimaafkan, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Kebangsaan Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, isu berkenaan memperlihatkan kegagalan keupayaan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan mengeluarkan bukti yang tidak diperhalusi dengan betul.

“Siapa punya angkara?…Kementerian Kesihatan atau Jakim yang mengatakan coklat Cadbury ada DNA babi, ia amat memalukan,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan dari London yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider.

“Bukti tidak teliti dengan diperhalusi, tidak ada ‘Standard Operating Procedure (SOP) yang profesional antara Jakim dan Kementerian Kesihatan,” katanya dan menambah, kesilapan sedemikian tidak boleh dimaafkan.

Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kekeliruan berkenaan melibatkan kerugian perniagaan yang besar dan menjejaskan reputasi Cadbury.

“Siapa yang silap dan cuai mesti diambil tindakan malah masyarakat antarabangsa turut mentertawakan Malaysia,” katanya.

Ibrahim berkata, komuniti antarabangsa yang ditemuinya di London berkata “Malaysia amat melucukan” ekoran insiden tersebut.

“Ada yang saya jumpa di London komen ‘Your country very funny … not profesional at all … Malaysia have the tallest twin tower in the world, but how come first’,” katanya.

“Tak tahulah, nak cakap apa lagi,” kata Ibrahim.

Selepas kontroversi DNA babi dalam coklat Cadbury, KKM mengesahkan pihaknya akan mengadakan siasatan dalaman untuk menjejak individu bertanggungjawab yang menyebarkan laporan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, laporan awal tersebut tidak tepat dan penyebarannya secara terburu-buru mengakibatkan kekecohan di kalangan masyarakat yang majoriti beragama Islam di dalam negara.

“Kami akan membuat siasatan dalaman. Mereka terburu-buru mengeluarkan laporan awal itu sebelum siasatan lanjut melibatkan produk tersebut dilakukan semula,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Persatuan Hospital Swasta Malaysia, hari ini.

KKM sebelum ini mengesahkan kewujudan DNA babi (porcine) dalam dua daripada tiga sampel coklat Cadbury yang diambil bagi tujuan pemantauan.

Susulan itu, Cadbury menarik balik dua produk, Cadbury Dairy Milk Hazelnut (nombor keluaran 200813M01Hh I2 yang tamat tempoh pada 13 November, 2014) dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond (nombor keluaran 221013N01R I1 yang tamat tempoh pada 15 Januari, 2015).

Kontroversi tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai, malah pertubuhan bukan kerajaan menggesa Cadbury dan Jakim disaman akibat penemuan tersebut.

No comments:

Post a Comment