Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Friday, June 6, 2014

Jais ambil tindakan tatatertib jika pegawai bersalah serbu perkahwinan Hindu

Serbuan kontroversi upacara perkahwinan Hindu di Petaling Jaya yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang dikatakan tidak mengikut prosuder. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 Jun, 2014.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawainya yang didapati ingkar perintah dalam serbuan kontroversi upacara perkahwinan Hindu di Petaling Jaya melibatkan Zarinah Abdul Majid yang mempunyai status agama Islam, Ahad lalu.

Menurut jabatan itu, siasatan dalaman sedang dilakukan terhadap pegawai-pegawai yang terlibat dengan kes ini.

"Sekiranya didapati pegawai ingkar perintah, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai berkenaan," kata Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Nurhamizah Othman dalam satu kenyataan lewat petang ini.


Nurhamizah mengakui semua pegawai Jais dimaklumkan bahawa sebarang penguatkuasaan kepada orang bukan Islam perlu mendapat kebenaran ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor dan dimaklumkan kepada pegawai atasan Jais terlebih dahulu.



"Jais memandang serius akan hal ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai yang didapati bersalah dan ingkar perintah," katanya.

Ahad lalu Jais menyerbu upacara perkahwinan Hindu di sebuah kuil di Petaling Jaya kerana mengesyaki pengantin perempuannya beragama Islam.

Wanita berkenaan, Zarinah, 32, bagaimanapun sudah berulang-alik ke Mahkamah Syariah dan JPN untuk membuang perkataan “Islam” di kad pengenalannya kerana tidak pernah mengamalkan kepercayaan agama itu.

Zarinah berkata, beliau sudah membelanjakan ribuan ringgit membayar peguam tetapi semuanya tidak berhasil sehingga menyebabkannya membuat keputusan tegas untuk berkahwin dengan lelaki dicintainya, seorang penganut Hindu di sebuah kuil.

Semalam Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Jais bersedia membantu Zarinah yang didaftarkan sebagai Islam menyelesaikan status agamanya.

Menteri Besar Selangor itu berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) selepas mendengar penerangan daripada pegawai Jais.

"Dia boleh membuat pertukaran kalau dapat selesaikan nama baru yang beliau ingini.

"Jais kata ini bukan serbuan, media kata serbuan. Kita (Selangor) kata ini memalukan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Shah Alam, semalam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Jais kembali kepada Al-Quran untuk mencari penyelesaian dalam kes serbuan mereka itu.

Dr Mahathir berkata, penyelesaian perkara itu terkandung di dalam Al-Quran dan tindakan seperti itu dilakukan berdasarkan interpretasi seseorang.

"Perkara ini timbul kerana tidak ikut ajaran Islam. Mereka ikut ajaran seseorang. Saya cadangkan mereka kembali kepada Al-Quran. Ini mereka ikut interpretasi mereka sendiri," katanya kepada pemberita ketika program Syarahan Perdana Presiden di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di Selangor semalam.

“Al-Quran nyatakan dengan jelas, kamu dengan agamamu, kami dengan agama kami," katanya. – 5 Jun, 2014.

No comments:

Post a Comment