Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Saturday, June 7, 2014

Gelatin babi halal untuk umat Islam: Dr Asri setuju dengan Dr Yusuf Al-Qardhawi


Dr Asri menegaskan sesuatu yang najis boleh menjadi halal. -Gambar Fail

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyokong pandangan ulama tersohor, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang berpendapat gelatin haiwan termasuk babi adalah halal untuk digunakan.

Dr Mohd Asri berkata isu sama ada gelatin atau DNA babi halal digunakan bukan satu masalah yang besar kerana di kalangan ulama pun tiada konsensus mengenai topik ini.

“Mereka (ulama-ulama) mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.

“Jadi setiap umat Islam mempunyai hak untuk membaca, mendengar, menilai dan membuat keputusan untuk dirinya sendiri pandangan mana yang dia mahu ikuti berdasarkan kepada hujah-hujah yang disampaikan.

“Islam adalah agama yang berfikiran terbuka yang sentiasa mengiktiraf fakta dan kebenaran,” katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, umat Islam perlu memikirkan bagaimana menjawab perbuatan mereka di hadapan Allah di akhirat, bukan bertindak balas secara emosi.

Mengulas lanjut pandangan Dr Yusuf Al-Qardhawi itu, Dr Asri menegaskan sesuatu yang najis boleh menjadi halal.

“Demikian apabila sesuatu najis telah melalui satu proses sehingga hilang sifatnya yang asal maka ia tidak dihukum dengan sifat asalnya kerana ia telah benar-benar berubah.

“Maka bahan yang asalnya najis apabila berubah sifat asal ia dinilai berdasarkan sifat baru itu, bukan atas sifat asalnya.

“Secara mudah faham untuk orang awam; perubahan sifat sesuatu bahan setelah melalui proses tertentu inilah yang disebut sebagai istihalah,” katanya.

Istihalah ialah perubahan dan pertukaran sesuatu benda kepada suatu benda lain yang meliputi pertukaran hakikat dan bentuk benda tersebut.

Dr Mohd Asri mengulas perkara berkenaan dilaman Facebooknya dengan mengambil contoh baja yang digunakan ketika menanam pokok pisang.

“Buah pisang halal dimakan. Tidak dikatakan buah pisang itu bernajis sebab subur dengan baja najis,” tulis beliau.

Beliau juga menggemukakan contoh arak yang bertukar menjadi cuka; ataupun, bangkai yang bertukar menjadi garam ataupun tanah.

Dr Asri berkata Majlis Fatwa Eropah, al-Qaradawi, Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain juga memberikan pandangan mereka tentang DNA babi yang terdapat secara meluas dalam makanan dan barangan di dunia ini sekarang.

Sebelum ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengatakan dua produk coklat Cadbury dikesan mengandungi DNA babi.

Bagaimanapun, ujian oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan dua produk coklat tersebut tiada unsur babi dan sekaligus halal untuk dimakan.

No comments:

Post a Comment