Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Wednesday, June 4, 2014

Bahasa Melayu masih terhimpit, terus terabai



WALAUPUN pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak yang berwewenang, kedudukan bahasa Melayu di negara ini masih menyedihkan.Namun, sebagai pihak yang diberi tanggungjawab berkenaan, DBP terus berusaha meskipun kelihatan ‘bersendirian’.Dari semasa ke semasa ada beberapa pihak yang bekerjasama dengannya berusaha membawa bahasa Melayu ke puncak cemara, DBP kelihatan ‘bersendirian’

Mahu tidak mahu, kita tetap perlu mengharapkan peranan serta kemampuan DBP kerana masakan berharap pada Risda, Felda, Felcra dan sebagainya pula.

Justeru, sangat wajar dan dialualukan jika masih ada pihak yang berminat dan mahu bekerjasama dengan DBP.

Pada 21 Mei lalu, Yayasan Tamil Malaysia (YTM) bekerjsama dengan DBP mengadakan ‘Dialog Bahasa Kebangsaan – Bahasa Membina Negara’ dalam siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP.

Program tersebut merupakan siri wacana yang diadakan oleh DBP menerusi kerjasama pelbagai pihak bagi menyahut hasrat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin agar usaha pemasyarakatan bahasa kebangsaan disemarakkan.

Antara matlamatnya termasuklah meningkatkan kefahaman warganegara tentang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menegaskan pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan dalam kalangan kakitangan sektor awam, dan memperteguh sikap serta pendirian warganegara tentang peranan bahasa kebangsaan dalam pembentukan jati diri serta asas pembinaan negara.

‘Dialog Bahasa Kebangsaan – Bahasa Membina Negara’ dijayakan oleh pensyarah dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, Raja Rajeswari Seetha Raman dan M Balachandran dari RTM sebagai ahli panel.

Pensyarah dari IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan, Palani Krishnasamy ditugaskan sebagai pemudah cara.

Rajeswari dan Balachandran juga merupakan antara penulis bukan Melayu terkenal tanah air yang berkarya dalam bahasa Melayu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Profesor Dr Zaharani Ahmad; Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Abdul Karim A Bakar; Naib Presiden YTM, R Subramaniam dan barisan kempimpinan YTM, serta guru-guru dan 180 pelajar sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, serta Raub, Pahang.

Bahasa dan karya penulisan karya sastera saling berkaitan.

Begitu juga bahasa Melayu dan karya sastera dalam bahasa tersebut. Ia melibatkan semua rakyat negara ini tanpa mengira kaum.

Jangan memandang remeh bahawa usaha meningkatkan bahasa Melayu boleh dibantu menerusi bidang penulisan karya sastera dalam bahasa tersebut. Ahli panel dialog turut menekankan perkara tersebut dalam kertas kerja mereka dan semasa menjawab pertanyaan dalam sesi soal jawab.

Menurut Rajeswari, jika bahasa Melayu diabaikan dan tidak menjadi satu bahasa untuk semua rakyat Malaysia, maka perpaduan kaum yang diimpikan akan tinggal impian. Rajeswari menegaskan mutu berbahasa Melayu dalam kalangan pelajar dan masyarakat India boleh ditingkatkan dengan cara menulis. Justeru, beliau menggalakkan pelajar India menulis karya kreatif dalam bahasa Melayu.

Balachandran pula menceritakan pengalamannya menulis karya kreatif dalam bahasa Melayu semasa belajar di sekolah rendah. Beliau menulis untuk majalah sekolah.

Sambil mengakui hebat dalam pelajaran akademik dengan kedudukan antara 10 pelajar terbaik, Balachandran mengatakan beliau amat lemah dalam bahasa Melayu. Jadi, beliau berusaha mengatasi masalah itu dengan berkarya dalam bahasa tersebut.

Sebagaimana Rajeswari, selain mahu pelajar India menulis dalam bahasa Melayu, Balachandran menggalakkan mereka menulis ‘di luar kotak’ dan berpandangan jauh. Beliau ‘meminta’ DBP menyediakan satu ruang untuk para pelajar sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) berkarya dalam majalah terbitan agensi tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, Dr Zaharani turut menyebut beberapa program ulung DBP untuk kanak-kanak dan remaja seperti Minggu Penulis Kanak- Kanak dan Minggu Penulis Remaja (MPR) telah melahirkan penulis dan sasterawan muda kebangsaan, termasuk daripada pelajar India.

Pada peringkat sekolah rendah, DBP menyediakan pelbagai program pembinaan bakat seperti penghantaran karya ke majalah Dewan Pelajar atau kem penulisan, yang diteruskan ke peringkat menengah menerusi majalah Dewan Siswa dan Tunas Cipta.

Bagi para guru di SJKT pula, DBP menyediakan kursus pemantapan bahasa dan khidmat secara dalam talian seperti Khidmat Nasihat Bahasa untuk membantu mereka menambah baik pengetahuan dan kemahiran bahasa.

DBP turut menganjurkan pertandingan Forum Remaja yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah kebangsaan dan Forum Remaja yang disertai pelajar sekolah menengah Cina.

Jadi, kata beliau, pertandingan forum untuk pelajar India bagi mengasah bakat komunikasi yang baik dalam bahasa kebangsaan perlu diadakan juga.

Program yang lebih berfokus pada pelajar India seperti Majalah Dalam Kelas boleh diadakan di SJKT untuk memupuk semangat mencintai bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda.

Pada peringkat belia pula, pelbagai program yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan boleh disertai untuk memperluas jalinan kerjasama demi mengukuhkan kemahiran berbahasa kebangsaan yang tepat.

Sesi apresiasi bahasa dan sastera kebangsaan boleh diadakan pada peringkat akar umbi masyarakat seperti Malam Puisi Perpaduan dan dialog bahasa bagi memperjelas serta memupuk semangat mencintai bahasa kebangsaan.

Segala yang terbaik dan perlu telah, sedang dan akan dilakukan.

Bagaimanapun, tidak bererti jika masyarakat pula memandang remeh. Sudah sampai masanya juga DBP diberi kuasa semacam ‘polis bahasa’ untuk bertindak terhadap ‘pengkhianat bahasa’.

No comments:

Post a Comment