Iklan Kita

Harta Kita di sana

Iklan Kite

Friday, June 6, 2014

'Ujian makmal JAKIM ikut piawaian antarabangsa'


Makmal yang digunakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menguji dua contoh coklat Cadbury yang didapati bebas daripada DNA babi (Porcine), diiktiraf Jabatan Standard dan proses dapatannya mengikut piawaian antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Fadilah Baharin berkata orang ramai tidak perlu khuatir dengan keputusan itu yang menyatakan produk berkenaan adalah halal kerana prosedur yang diguna pakai untuk menganalisis dua jenis coklat berkenaan mempunyai piawaian MS ISO/IEC 17025.

"Makmal Jabatan Kimia memang mendapat pengiktirafan daripada jabatan kami bagi pengujian DNA termasuk pengujian produk makanan diproses.

"Apabila ujian ke atas dua jenis coklat mendapati tiada DNA tersebut, maka saya yakin keputusan itu adalah tepat dan rasmi, malah ia seharusnya tidak menimbulkan konflik," katanya kepada Bernama hari ini.

Piawaian antarabangsa MS ISO/IEC 17025 menetapkan proses ujian terhadap DNA hanya boleh dilakukan di dalam makmal khas yang mempunyai kompetensi standard seperti kakitangan yang terlatih, peralatan yang ditentu ukur dan pendokumentasian yang sempurna.

Terdapat 18 makmal lain yang turut mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia untuk melakukan pengujian DNA babi dan senarai makmal itu boleh diperolehi dengan melayari alamat www.standardsmalaysia.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 24 Mei lepas mengeluarkan kenyataan bahawa ia telah mengesan DNA babi dalam coklat susu dan kacang Hazel serta coklat susu dan badam bagi kelompok produk itu bertarikh luput 13 Nov 2014 dan kelompok bertarikh luput 15 Jan 2015.

Pada Isnin lepas JAKIM mengesahkan dua sampel produk coklat berkenaan yang diambil terus dari kilang syarikat itu disahkan tidak mengandungi DNA babi selepas melakukan ujian sampel di makmal Jabatan Kimia.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya kini dalam usaha mewujudkan satu standard kebangsaan (Malaysian Standard) mengenai kaedah ujian bagi mengesan kehadiran DNA babi mengikut metadologi yang seragam; mungkin akan dinamakan 'Malaysian Standard: Test Method for the Detection of Porcine-Based DNA'.

Katanya standard itu dijangka siap dan diumumkan tahun hadapan sebagai garispanduan dan teknik bagi menganalisis DNA babi dengan lebih teratur.

"Kami dalam proses itu tetapi isu ini (Cadbury) meletup sebelum saya boleh umumkan perkara itu.

"Kalau standard ini dapat dilaksanakan, ia akan menjadi yang pertama di dunia mempunyai garis panduan untuk menganalisis DNA babi dan saya yakin isu berbeza pendapat mengenai cara sesetengah pihak melakukan analisis DNA tidak akan timbul," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment